BANDAR GAZA, Wilayah Palestin – Kejadian berbalas tembakan berlaku ketika tentera Israel mengadakan operasi di Genting Gaza kelmarin, mengakibatkan enam rakyat Palestin dan seorang anggota tentera Rejim Zionis terbunuh, kata beberapa pegawai sekali gus menggugat persetujuan damai yang dicapai baru-baru ini.
Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memaklumkan bahawa beliau akan memendekkan lawatannya ke Paris dan pulang ke Israel ekoran ketegangan yang semakin memuncak susulan pertempuran tersebut.
Jurucakap pergerakan Hamas yang menguasai Genting Gaza, Fawzi Barhoum mengutuk insiden itu sebagai ‘serangan pengecut Israel’.
Sumber keselamatan Palestin berkata, pertempuran itu termasuk serangan udara oleh Israel.
Selepas pertempuran meletus, 17 bedilan dikenal pasti telah dilancarkan dari Genting Gaza ke Israel, kata tentera Rejim Zionis dengan tiga buah roket dipintas sistem pertahanan peluru berpandu Israel. Tidak dapat dipastikan sama ada baki misil itu mengenai wilayah Tel Aviv.
Kementerian Kesihatan Gaza berkata, enam rakyat Palestin terbunuh dalam pertempuran itu.
Antara yang terkorban termasuk komander sayap bersenjata Hamas, Briged Ezzedine Al-Qassam, kata briged itu dalam satu kenyataan. Dia dikenal pasti sebagai Nour Baraka.
Tentera Israel pula mengesahkan seorang askarnya terbunuh, manakala beberapa lagi cedera. – AFP/KOSMO ONLINE