MELAKA – Jumlah mangsa banjir di Melaka mula menurun kepada 987 orang daripada 274 keluarga setakat 12.30 tengah hari ini berbanding 1,081 mangsa daripada 302 keluarga pagi tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata sebuah pusat pemindahan ditutup pada 12 tengah hari iaitu Balai Raya Seri Jeram di daerah Alor Gajah, namun sebuah lagi pusat pemindahan baharu dibuka di bangunan Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal.
Beliau berkata daerah Alor Gajah masih mencatat jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu 857 penduduk membabitkan seramai 150 mangsa di Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Jelatang, 13 mangsa di Balai Raya Kampung Gadek dan 205 mangsa di Sekolah Kebangsaan (SK) Lesung Batu.
“Selain itu, di Alor Gajah juga menempatkan seramai 102 mangsa termasuk 94 daripadanya merupakan pelajar Sekolah Tahfiz Panchor, 75 mangsa di Balai Raya Kampung Beringin, 284 mangsa di SK Belimbing Dalam dan 28 mangsa di Japerun Durian Tunggal.
“Seramai 130 penduduk kekal ditempatkan di Balai Raya Kampung Tanah Merah, Krubong di daerah Melaka Tengah,” kata Effendy yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka dalam kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata kejadian banjir di kawasan berkenaan dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan dari 1.30 pagi hingga 5.30 pagi semalam. – BERNAMA

