KUALA LUMPUR – Kementerian Industri Utama akan memberi fokus ke arah mempergiat aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) kenaf bertujuan meningkatkan pengkomersialan komoditi itu serta produk sampingannya.
Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berkata ia bagi mengembangkan lagi industri kenaf yang kini menjadi antara sumber ekonomi baharu yang mampan kepada negara dan pada masa sama membantu rakyat yang terlibat dalam bidang berkenaan.
“Kementerian melalui LKTN (Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara) akan mempergiat aktiviti R&D kenaf yang merupakan prasyarat dalam penghasilan produk baharu berasaskan kenaf.
“Usaha ini juga bakal merealisasi hasrat kerajaan dalam menyediakan petani kenaf juga menjadi usahawan agar mereka boleh terus menceburi bidang perusahaan bagi mendapat pulangan yang lebih,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Industri Kenaf 2018 di sini, hari ini.
Persidangan disertai 300 peserta bertemakan ‘Kenaf Melestarikan Kehidupan’ itu adalah inisiatif untuk membincangkan perkembangan terkini industri berkenaan di Malaysia.
Shamsul Iskandar berkata jaringan pasaran dan penggunaan kenaf turut akan diperluas agar sasaran menjana RM350 juta pendapatan domestik serta RM3.5 bilion permintaan dunia tercapai menjelang 2025.
Kenaf kini merupakan tanaman pilihan sebagai pengganti tembakau yang mempunyai banyak kegunaan biokomposit iaitu untuk industri automotif dan pembinaan, perabot, pulpa dan kertas, tekstil serta bahan makanan untuk ternakan. – BERNAMA
