APRIL lalu, mahkamah Indonesia sudah mengesahkan yang kapal Equanimity tidak ada kaitan dengan syarikat pelaburan strategik Malaysia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Namun sekarang ini, pihak berkuasa Malaysia sudah memulakan satu drama mega menahan kapal layar Equanimity dan menjadikannya bahan kempen mengaitkannya dengan 1MDB dan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Kerajaan mendakwa tempoh berbulan diperlukan untuk mengesahkan milik siapa kapal layar mewah tersebut, walaupun mahkamah Indonesia sudah mengesahkan siapa pemiliknya.
Hakim Mahkamah Daerah Jakarta Selatan mendapati bahawa kapal layar berkenaan adalah milik sah Equanimity (Cayman) Ltd.
Keputusan itu dibuat mahkamah dalam prosiding perbicaraan terhadap permohonan yang difailkan oleh Equanimity Cayman terhadap Bahagian Siasatan Jenayah Ekonomi dan Khas Polis Indonesia (POLRI).
Susulan penyitaan itu, pada 30 Mac lalu, Equanimity (Cayman) selaku pemilik sah kapal terbabit, dalam kenyataannya menyifatkan DOJ dan pihak berkuasa Indonesia bertindak melampaui had perundangan negara masing-masing.
Hakim Mahkamah Daerah Jakarta Selatan, Ratmoho, memerintahkan supaya kapal layar Equanimity yang bernilai hampir RM1 bilion terbabit, dikembalikan kepada pemilik asalnya.
Reuters melaporkan, keputusan pengembalian aset itu dibuat selepas mahkamah mendapati pihak berkuasa Indonesia tidak mematuhi prosedur undang-undang ketika membuat sitaan.
Kini kapal layar tersebut berada di Malaysia di bawah jagaan pihak berkuasa Malaysia, dan jutaan ringgit dijangka dibelanjakan untuk penyelenggaraannya.
Kapal layar ini menjadi satu objek untuk drama terbaru kerajaan PH sedangkan banyak soalan berhubung kedudukan dari segi undang-undang masih belum terjawab.
Rampasan-rampasan sejak tiga bulan lalu semuanya sukar dijelaskan dengan tepat menurut undang-undang, tetapi cukup kuat mempengaruhi sentimen orang ramai.
Barangan mewah yang dipamerkan itu belum diketahui siapa pemiliknya, tetapi persepsi sudah dibentuk mengaitkan barangan tersebut dengan pemimpin tertentu.
Drama kapal layar Equanimity ini masih panjang lagi, tetapi sementara minat orang ramai masih kuat, kerajaan PH berjaya memburukkan musuh politiknya dengan menjadikan kapal ini satu tumpuan. – Mynewshub.tv

