SELESA… Satu lagi pilihan penginapan bagi para jemaah yang menunaikan ibadah haji dan umrah. Ia persis kapsul tidur ditawarkan di Jepun tetapi kali ini, ia khusus bagi keselesaan jemaah haji.
Kerajaan Arab Saudi menawarkan lebih sedozen unit kapsul tidur itu di barat Mina dekat Makkah sepanjang musim haji kali ini, ketika pihak berkuasa tempatan menganggarkan sekitar dua juta jemaah berhimpun bagi ibadah haji.
Kapsul-kapsul tidur yang ditawarkan secara percuma itu adalah sebahagian daripada langkah-langkah baru Arab Saudi dalam usahanya untuk mempermudahkan dan melicinkan pelaksanaan ibadah Rukun Islam kelima tersebut.
Kerajaan Islam negara terbesar rantau Asia Barat tersebut juga memperkenalkan aplikasi pintar yang mampu menawarkan khidmat penterjemahan bahasa dan perubatan kecemasan secara langsung kepada jemaah.
Dalam pada itu media antarabangsa melaporkan antara 18 hingga 24 kapsul tidur ditawarkan secara percuma dalam beberapa hari lalu dan kemudahan penginapan saiz mini tersebut turut menerima sambutan positif.
Ruang kaca gentian – yang panjangnya kurang tiga meter dan tinggi sekitar semeter – malahan dilengkapi dengan tilam, cadar bersih, penyaman udara dan cermin besar untuk kegunaan jemaah melepaskan penat lelah.
Kapsul-kapsul unik tersebut diletakkan atas satu sama lain dan dipasang sebaris bagi memaksimumkan ruang strategik yang ada di kawasan sempit.
“Kami sentiasa memikirkan tentang cara-cara bagi membuat para jemaah berasa lebih selesa semasa menjalankan ibadah Haji,” kata Ketua Persatuan Kebajikan Haji Mansour al-Amer.
Kapsul-kapsul tidur itu satu huraian bagi para jemaah yang tidak mampu untuk menempah hotel tetapi memerlukan tempat istirahat.
Setiap jemaah diberi akses kepada kapsul tidur itu selama tiga jam. Kapsul-kapsul tersebut diimport daripada Jepun pada harga sekitar 4,178 riyal Saudi (kira-kira RM4,561) setiap kapsul.
Ketika para jemaah bangun apabila masuk waktu solat fardu – lima kali sehari – para pekerja akan datang untuk membersihkan kapsul-kapsul tidur sebelum digunakan oleh jemaah selanjutnya.
Menerangkan lebih lanjut, kapsul-kapsul tidur itu diilhamkan oleh model-model kereta dan basikal sewa yang kian popular di seluruh dunia khusus untuk golongan tidak berkemampuan.
“Kapsul itu ditawarkan dalam ekonomi perkongsian, seperti basikal-basikal yang boleh anda sewa selama sejam kemudian orang lain pula menyewanya,” kata Amer kepada agensi berita antarabangsa AFP.
Sebanyak 12 kapsul tidur berkenaan sudah diuji awal tahun ini. Amer menganggarkan sekitar 60 jemaah menggunakan setiap kapsul tidur perintis pada bulan Ramadan lalu. – AFP