BONGKAR… Tindakan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beku akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan ahli keluarganya disyaki berunsur dendam.
Menurut Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam, ia berdasarkan kepada kenyataan pernah dibuat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull pada awal pelantikannya tidak lama dahulu.
Justeru ujarnya, satu laporan polis dibuat pihaknya dengan Civil & Human Rights Movement Malaysia (Charm) di ibu kota semalam bagi gesa pihak polis menyiasat sebarang unsur penyalahgunaan kuasa oleh Mohd. Shukri sendiri.
“Kami buat laporan polis ini bagi pihak Pemantau Malaysia Baru dan Charm ke atas Mohd. Shukri atas tindakan beliau dan SPRM yang telah membekukan akaun bank simpanan junior cucu Najib, Adam Razak, berusia 10 bulan.
“Ia dibeku di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001. Ia disyaki dibuat dengan niat balas dendam terhadap Najib dan ahli keluarga terdekatnya.
“Ini juga berdasarkan kepada apa yang telah beliau sendiri pernah katakan semasa sidang media di Putrajaya pada awal pelantikannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM. Pihak polis perlu menyiasat Shukri Abdull dengan segera.


“Beliau jelas salah guna kuasa dan tekan rakyat tak berdosa,” katanya selepas mengetuai lebih 50 penyokong Najib berhimpun di hadapan pusat beli-belah Sogo malam tadi bagi zahir sokongan terhadap Ahli Parlimen Pekan itu.
Sebahagian daripada yang hadir dilihat membawa sepanduk bertulis ‘Kerajaan PH (Pakatan Harapan) Memalukan’, ‘Where’s are Adam’s shoes’ dan ‘Kamu menang kerana fitnah’. Mereka turut bersorak ‘hidup Najib’ dan ‘tolak fitnah’.
Pelakon dan pengarah drama terkenal, Ellie Suriaty Omar turut kelihatan hadir memberikan sokongan. Mengulas lanjut Lokman berkata, tindakan PH beku akaun penyokong pembangkang tanpa alasan munasabah adalah sama seperti tindakan kerajaan Israel kini membekukan akaun bank pejuang Palestin dan ahli keluarga terdekat mereka.
“Tindakan membeku akaun junior Adam yang masih di bawah umur yang menggunakan nama Ibunya, Nooryana Najwa sebaik sahaja ibunya bayar sebahagian daripada duit ikat jamin Najib, jelas tidak munasabah sama sekali.
“Selain Nooryana, pembekuan akaun Ashman Najib, Nizar Najib dan anak sulung Najib, Puteri Norlisa Najib juga jelas memperlihatkan niat jahat bagi menggagalkan usaha pihak keluarga Najib untuk membayar ikat jamin.
“Ini kerana separuh lagi jumlah tersebut iaitu RM500,000 perlu dijelaskan pada hari Isnin ini, untuk menyempurnakan proses ikat jamin,” tegas ahli Majlis Tertinggi UMNO itu lagi. – Mynewshub.TV

