KANGAR – Seramai 128 belia anak-anak asnaf di Perlis yang menyertai program Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis) berjaya meraih pendapatan lebih RM5,000 sebulan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor, kumpulan perintis itu berumur 18 hingga 40 tahun diberi peluang mengikuti latihan kemahiran selama tiga hingga enam bulan melalui kerjasama MAIPs dengan lapan syarikat terpilih dalam pelbagai bidang.
Katanya antara institusi itu ialah Akademi Binaan Malaysia (ABM), Pusat Pembangunan Kemahiran Industri dan Pengurusan (KISMEC), Kedah dan syarikat Imbasan Nilai Sdn Bhd di Kemaman, Terengganu.
“Bidang keutamaan di bawah program itu ialah automotif, pendingin hawa serta minyak dan gas. Selain diserap sebagai pekerja tetap selepas tamat latihan ramai juga yang menjadi usahawan,” katanya kepada pemberita semasa ditemui pada program Raikan Syawal dan pelancaran program Kolaborasi Akademi Transformasi Asnaf MAIPs.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua MAIPs berkenan melancarkan program itu di perkarangan Bangunan MAIPs di sini, hari ini.
Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man turut hadir.
Seorang anak asnaf peserta program itu, Mohd Naim Anuar, 25, yang ditemui berkata dia diambil bekerja oleh syarikat Muksyn Engineering & Services Sdn Bhd di Pengerang, Johor setelah menamatkan latihan selama tiga bulan di syarikat Imbasan Nilai Sdn Bhd dalam bidang ‘nondestructive testing.’
“Setelah enam bulan bekerja, gaji saya dinaikkan menjadi RM4,000,” kata anak sulung daripada empat adik-beradik itu yang tinggal di Mata Ayer, Padang Besar. – BERNAMA