SEREMBAN – Sebanyak 115 premis yang menjadi tumpuan orang ramai pada musim perayaan Aidilfitri termasuk hotel dan pasar raya diperiksa pihak bomba negeri ini bagi memastikan aspek keselamatan premis pada tahap baik termasuk sistem keselamatan kebakaran.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Norazam Khamis berkata pemeriksaan itu, yang dilaksanakan menerusi Kempen Keselamatan Kebakaran sempena Hari Raya, dimulakan sejak 17 Mei lepas dan berakhir pada 29 Jun ini dengan membabitkan 45 pusat beli-belah, 40 hotel, 15 restoran dan 15 dewan.
“Setakat ini, kira-kira 50 peratus daripada keseluruhan premis itu telah diperiksa dan tiada kesalahan utama dikesan berkaitan keselamatan kebakaran… kita akan teruskan pemeriksaan dan kita akan pantau hasil penemuan ketika pemeriksaan dijalankan,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian pada pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran dan Op Rondaan Sempena Musim Perayaan Aidilfitiri Peringkat Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Teo Kok Seong.
Menurutnya pada musim perayaan ini, 80 peratus daripada 650 anggota dan pegawai bomba negeri ini akan bertugas.
Mengenai Op Rondaan Sempena Musim Perayaan Aidilfitiri 2018, Norazam berkata operasi itu bermula dari 8 Jun hingga 22 Jun dengan menetapkan jadual tugasan rondaan di laluan kerap berlaku kemalangan termasuk Lebuhraya Plus Utara Selatan.
“Di negeri ini, hotspot yang kita kenal pasti termasuklah Bukit Putus;,Sremban-Kuala Klawang; Seremban- Port Dickson dan Jempol-Muadzam…kita buat rondaan empat hingga lima kali sehari bagi memastikan pihak bomba dapat tiba seawal mungkin sekiranya berlaku kemalangan.
“Kita juga ada tempatkan pasukan bersedia di Plaza Tol Pedas Linggi KM240 arah Selatan,” katanya.
Norazam berkata pihaknya menasihatkan semua masyarakat memastikan keselamatan terutamanya berkaitan barangan elektrik dan sambungan wayar dicabut manakala untuk memulakan perjalankan balik kampung pada waktu yang sesuai bagi mengelak gangguan perjalanan. – BERNAMA

