KUALA LUMPUR — Polis Diraja Malaysia menyangkal dakwaan seorang lelaki Arab menerusi video yang tular di media sosial kononnya 43 panggilan dibuat namun polis lewat tiba di lokasi kejadian kes tembak mati pensyarah dan imam warga Palestin, Dr. Fadi Mohammed Al Batsh, di Setapak, semalam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya telah tiba di lokasi kejadian 10 minit selepas menerima laporan daripada orang awam.
Beliau berkata PDRM turut menafikan dakwaan lelaki dalam video itu kononnya dia turut berada di lokasi kejadian bersama Dr. Fadi ketika mangsa ditembak.
Polis sedang menyiasat penularan video itu.
Katanya hasil soal siasat ke atas saksi-saksi membuktikan tiada mana-mana warga asing berada bersama Dr. Fadi di lokasi kejadian ketika dia ditembak.
“Penularan video itu berpunca daripada perkongsian di sebuah Facebook di mana pemilik kemudiannya mengakui bahawa dia telah khilaf dalam membuat terjemahan ke atas dakwaan lelaki Arab itu berhubung jumlah panggilan yang dibuat kepada polis yang sepatutnya dua hingga tiga panggilan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini.
Mohamad Fuzi berkata ketika ini pihaknya sedang mempergiatkan usaha memburu lelaki Arab berkenaan untuk tindakan selanjutnya.
Mengenai dakwaan bahawa polis telah menahan seorang suspek utama kes berkenaan yang juga tular di media sosial, Mohamad Fuzi berkata ia adalah tidak benar sama sekali.
“Tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini berhubung kes berkenaan manakala gambar lelaki yang ditahan itu dan tular di media sosial merupakan kes lain serta tiada kaitan dengan kes tembak ini.
“Dakwaan yang mendakwa Dr. Fadi merupakan pakar pembuat roket dan dron juga tidak benar kerana setahu saya beliau terlibat dalam bidang kejuruteraan elektronik,” katanya.
Ditanya sama ada kes berkenaan melibatkan kuasa asing atau mempunyai kaitan dengan organisasi perisikan sebuah negara, Mohamad Fuzi berkata perkara itu juga sedang disiasat.
“Saya ingin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan siasatan atau menularkan sebarang berita yang tidak sahih sehingga menimbulkan kebimbangan serta kegusaran masyarakat,” katanya.
Mohamad Fuzi juga berkata satu pasukan khas telah diwujudkan bagi menjalankan siasatan menyeluruh kes ini agar ia dapat diselesaikan dengan segera.
Sementara itu, ditanya mengenai status bedah siasat jenazah Dr. Fadi, Mohamad Fuzi berkata ia telah dijalankan pada 9 pagi tadi di Hospital Selayang.
Dalam kejadian kira-kira 6 pagi semalam, Dr. Fadi ditembak mati ketika berjalan ke surau untuk menunaikan solat Subuh berdekatan sebuah kondominium di Jalan Meranti, Setapak.
Polis telah mengumumkan identiti mangsa sebagai Dr. Fadi Mohammed Al Batsh. — BERNAMA