SIAPA sangka layang-layang yang hanya diperbuat daripada daun palas boleh bersaing di pentas antarabangsa dalam Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang di Johor Bahru, Johor.
Selain mampu terbang tinggi, ia tahan lasak dan dapat bertahan dalam keadaan angin yang kuat selain kalis air. Ia dihasilkan dengan dua helai daun palas kering sebelum diikat bersama batang buluh dan dibentuk menyerupai wau.
Penciptanya, Kadeka Armika, 39, yang berasal dari Bali, Indonesia ketika ditemui Bernama berkata, dia hanya mengambil masa tiga jam bagi menyiapkan layang-layang daun palas berkenaan.
“Daun palas akan dileperkan dengan menggunakan batu sehingga ia kering. Selepas kering, saya sapukan syelek dan cecair kalis air bagi memastikan ia keras dan dapat terbang dalam cuaca hujan.
“Untuk ikat layang-layang ini, saya perlu mengggunakan tali diperbuat daripada buluh, yang kemudian dianyam untuk mengikat setiap batang buluh dan daun berkenaan dengan kuat,” kata Kadeka.
Tambah beliau, ini merupakan satu daripada cara yang boleh dilakukannya dalam mempromosikan layang-layang yang langsung diperbuat daripada bahan-bahan bersifat mesra alam sekitar.
“Saya mempertandingkan tujuh layang-layang yang kesemuanya turut dibuat daripada bahan mesra alam. Ia juga sebenarnya agak ringan dan lebih mudah dibawa ke mana-mana,” jelas Kadeka.
Dia yang telah menyertai pertandingan ini selama tiga tahun memaklumkan bahawa festival ini menjadi sebahagian daripada kalendar aktiviti tahunan bersama keluarganya selain berpeluang berjumpa pelayang antarabangsa.
“Saya suka datang ke Pasir Gudang kerana keadaan cuaca dan suasananya. Penduduk di sini juga mesra dan saya juga berpeluang untuk mendapat ramai kenalan pelayang-pelayang antarabangsa,” tambah Kadeka.
Sementara itu, pelayang dari Australia, Malcolm Hubbert, 66, berkata pada festival tahun ini, dia mempertaruhkan layang-layang yang berbentuk naga bagi menarik perhatian juri pertandingan dan orang ramai.
“Saya ada layang-layang sotong kurita dan paus yang berwarna biru, jadi pada tahun ini saya bawa sedikit kelainan iaitu naga berwarna merah kerana ia dapat menarik perhatian selain kanak-kanak,” katanya.
Seramai 1,000 pelayang dari 45 negara menyertai festival yang sudah memasuki tahun ke-23 penganjurannya serta berlangsung dari 28 Februari lalu sehingga 4 Mac dan dihadiri lebih 500,000 pengunjung. – Bernama/HAA