KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan mengemukakan rayuan kepada Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) bagi mengurangkan hukuman denda RM1.5 juta yang dikenakan terhadap persatuan itu.
Presiden KAFA Bibi Ramjani Ilias Khan berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan tersebut dalam masa terdekat kepada FMLLP.
“Jumlah denda itu sangat besar kepada kami terutamanya ketika keadaan kewangan persatuan tidak stabil berikutan KAFA tidak dibantu mana-mana pihak berkaitan kewangan bagi pengurusan pasukan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan Kelantan antara empat pasukan Liga Super yang dikenakan denda RM1.5 juta selepas gagal melengkapkan pendaftaran bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
Selain Kelantan, tiga lagi pasukan Liga Super yang dikenakan hukuman sama ialah Kuala Lumpur, Selangor dan PKNS FC manakala enam pasukan Liga Perdana – Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA, PDRM, MIFA dan UKM FC, masing-masing perlu membayar denda RM500,000 atas kesalahan sama.
Bibi Ramjani berkata pihaknya juga akan meminta pencerahan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan FMLLP berkaitan dokumen yang perlu disediakan bagi proses rayuan itu.
“Kita mahu memenuhi syarat semampu boleh memandangkan KAFA musim ini di bawah pengurusan baharu yang terpaksa bergerak ke depan dalam perbelanjaan terhad di samping membayar tekanan hutang sebelum ini.
“Kewangan kami hanya bergantung kepada pihak penaja musim ini dan ia diperoleh dalam jumlah yang kecil,” katanya.
Semalam, KAFA dan sembilan pasukan boleh menarik nafas lega apabila hukuman pemotongan mata oleh FMLLP ditangguhkan atas kesalahan yang sama (gagal melengkapkan pendaftaran Liga Malaysia). – BERNAMA