KUALA LUMPUR – Bukan setakat kerusi, kucing dan almari juga dilaporkan pernah dicampak ke bawah begitu sahaja oleh penduduk flat.
Sampah seperti tin sardin dan lampin kotor antara benda biasa yang dibuang terus dari rumah golongan ini, satu perbuatan tidak bertanggungjawab yang juga menunjukkan tiada kesedaran sivik dalam kalangan mereka.
Pada malam 15 Jan lalu, perbuatan sedemikian meragut nyawa seorang remaja lelaki berusia 15 tahun apabila kepalanya ditimpa kerusi yang dicampak dari tingkat atas dalam kejadian di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, di sini.
Mengulas insiden itu, aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye dalam satu kenyataan di sini hari ini, berkata kelas kesedaran sivik harus diwajibkan bagi mendidik penduduk flat akan kepentingan keselamatan awam.
Selain itu, katanya kempen kesedaran besar-besaran yang berterusan perlu diadakan di setiap pangsapuri kos rendah bagi
“Ini penting memandangkan perbuatan mencampak barang dari tingkat atas PPR kerap berlaku dan daripada apa yang dilaporkan, tin sardin, lampin kotor malah kucing dan almari dibuang dari tingkat atas,” katanya.
Merujuk kejadian yang meragut nyawa remaja lelaki itu, Lee berkata ia menunjukkan sikap buruk rakyat Malaysia yang tidak memikirkan tentang aspek keselamatan awam serta alam sekitar selain mempamerkan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah penghuni flat.
Beliau berkata pihak berkuasa harus memainkan peranan mereka dengan menyediakan lebih banyak kemudahan untuk membuang sampah selain mengamalkan budaya penyelenggaraan yang baik agar kemudahan seperti lif sentiasa berfungsi dengan baik.
Pemasangan kamera litar tertutup juga dapat membantu memantau kegiatan di kediaman berstrata tinggi selain mencegah perbuatan vandalisme dan membuang sampah merata-rata, katanya.
Mengenai langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memasang jaring keselamatan di flat PPR di Kuala Lumpur, Lee yang juga bekas anggota lembaga penasihat DBKL, berkata pemasangan jaring mungkin dapat membantu mencegah kecederaan dan kematian, namun ia juga menggalakkan penghuni flat untuk terus membuang sampah dan barang rosak secara berleluasa kerana yakin barang terbabit tidak akan mengenai orang.
“Ia juga menambah beban pekerja pembersihan untuk membuang sampah yang tersangkut di jaring,” katanya.
Lee berkata kerajaan perlu menilai semula keberkesanan sukatan pelajaran mengenai nilai murni dan tanggungjawab sosial di sekolah memandangkan nilai murni bukan sekadar untuk dihafal bagi tujuan lulus peperiksaan tetapi untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.
Dalam usaha menajadikan Malaysia negara maju, beliau berkata semua aspek pembangunan manusia khususnya tanggungjawab sivik dan nilai murni dalam kalangan orang ramai perlu dipupuk dan sentiasa diberi penekanan. – BERNAMA