PELAKON, Erra Fazira menyangkal dakwaan kononnya bakal bertunang dan berkahwin dengan penyanyi, Shahir dalam masa terdekat seperti mana yang hangat diperkatakan pihak tertentu.
Erra yang terkenal dengan lakonannya dalam Sembilu itu berkata, selagi tiada sebarang pengumuman mahupun perkongsian yang keluar daripada mulutnya maka ia hanyalah spekulasi semata-mata.
“Saya tidak pernah rancang apa-apa tarikh perkahwinan. Sebaliknya, macam-macam tarikh yang saya dengar. Orang boleh bercakap dan beri apa saja tarikh untuk tunang atau kahwin tapi semua itu bukan daripada saya sendiri.
“Semua tarikh yang diperkatakan adalah spekulasi yang bukan datang daripada saya atau pengurusan saya. Selagi bukan daripada mulut saya maka anggaplah ia sekadar angin yang berlalu,” katanya dipetik mStar Online.
Menurut Erra secara logiknya, sekiranya hal berhubung rancangan tunang dan kahwin itu benar-benar berlaku, sudah pasti beliau akan berkongsi perkara besar itu kepada umum.
Namun, penyanyi ini mengakui perancangan itu sememangnya tiada langsung dan mereka masih berkawan macam biasa seperti mana yang didedahkan beliau sebelum ini.
“Masalahnya benda itu memang tidak ada langsung. Kami masih berkawan macam biasa seperti yang saya terbuka kongsikan sebelum ini.
“Kalau ada (ketetapan tarikh) saya takkan kedekut untuk berkongsi termasuklah kepada media. Saya kenang jasa dan sokongan media kepada saya selama ini,” katanya.
Tambahnya lagi, beliau enggan mengulas lanjut berhubung perancangan perkahwinan kerana baginya perkara itu bukanlah satu keutamaannya buat sama ini.
Pun begitu, sebagai manusia biasa pelakon ini juga tidak akan menolak ketentuan takdir andai jodoh tiba masa terdekat.
“Pada tahun ini apa yang saya nampak keutamaan adalah pada kerja. Hal jodoh itu urusan Allah. Buat masa ini apa yang saya nampak dan rancang untuk untuk urusan kerja.
“Tapi bukan bermakna saya mahu menidakkan andai jodoh tiba pada tahun ini. Cuma perancangan khusus tentang kahwin belum diperkatakan lagi,” tambahnya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang berlangsung di pejabat pengurusannya, Mindorder Management, di Petaling Jaya, semalam.
Dalam perkembangan lain, Erra kini sah berada di bawah naungan pengurusan Mind Order Sdn. Bhd., yang mana berkuat kuasa bermula bulan ini (Januari).
Apapun, selamat maju jaya Mynewshub ucapkan buat pelakon yang terkenal dengan jolokan primadona Filem Melayu Alaf baru ini. Semoga terus sukses! – MYNEWSHUB.CC/AM