“SAYA sudah bersedia kembali!”. Itulah pengakuan terbuka Liza Hanim untuk mewarnai dunia hiburan sekali lagi menerusi Gegar Vaganza (GV) kepada agensi berita Singapura, MediaCorp.
Pengakuan yang dibuatnya setelah bersetuju menyertai GV 2017 sekarang ini mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat hiburan tanah air, apakah Liza Hanim yang bakal menjuarai program musim keempat itu.
Bagi generasi anak muda yang kurang mengenali Liza Hanim, beliau sebenarnya seorang penyanyi serba boleh dan dikategorikan sebagai sezaman dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza, kerana memulakan kerjaya seninya pada 1994.
Anak kelahiran Klang, Selangor itu pernah cukup terkenal menerusi lagu-lagu balada yang menjadi siulan ramai antaranya ialah Siapa Sangka Siapa Menduga, Andainya Aku Bersuara dan Getaran Cinta Di Jiwa.
Kini, Liza Hanim disebut-sebut menjadi ‘hot favourite’ untuk menang GV 2017 disebabkan prestasinya dalam tiga minggu pertama, sehingga memperoleh markah tertinggi setiap minggu daripada dua juri profesional terkenal.
Malah kedua-dua juri tetap iaitu komposer Datuk Ramli MS dan penyanyi Indonesia, Hetty Koes Endang sering memuji dirinya. Secara kebetulan episod keempat malam 19 November jatuh pada tarikh lahirnya yang ke-38.
“Saya hanya cuba lakukan sehabis baik saya mampu. ‘Favourite’ (pilihan) atau tidak bukan soalnya. Tiada gunanya jadi favourite tetapi saya buat sambil lewa. Kena perlu bersungguh-sungguh,” kata Liza Hanim lagi.
Namun beliau akur, menjadi ‘hot favourite’ dari awal lagi untuk pertandingan gah sedemikian memang memberi tekanan. Untuk rekod juara GV sebelumnya ialah Ayai Ilusi (2014), Siti Nordiana (2015) dan Azharina (2016).
“Tertekan! (ketawa). Sudah tentu dah ada jangkaan tinggi dari semua. Saya biasa jadi ‘underdog’ selama ini. Ini sesuatu baru bagi diri saya,” kongsinya yang pernah terlibat untuk teater muzikal P.Ramlee the Muzikal pada 2008.
Kehebatan Liza Hanim sememangnya terserlah. Pada minggu kedua, beliau hanya sempat berlatih sekali sahaja dedah Ramli MS. Meskipun begitu, beliau tetap mampu memberi persembahan mantap sehingga ramai terpegun.
Apakah rahsia beliau pada malam itu?: “Fokus. Kerana mengetahui yang saya memang tak dapat membuat latihan seperti biasa, saya berikan perhatian sepenuhnya pada kesempatan yang ada. Saya rakamkan apa yang saya latih.
“Memang mencabar, dan saya perlu menyimpan tenaga juga pada ketika itu kerana kebetulan baru balik dari luar negara. Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan saya pada hari tersebut,” dedah Liza kepada MediaCorp.
Agensi berita republik itu sempat menghubungi salah seorang juri tetap GV 2017 iaitu Hetty Koes Endang mengenai prestasi Liza Hanim selama tiga minggu berturut-turut program tersebut yang dikendalikannya.
Ini komen Hetty: “Kesemua peserta bagus …. Dia sudah siap untuk ‘tempur’. Dia memang bagus juga untuk minggu ketiga. Dia dicabar dengan irama rock. Kalau sebelum ini, dia bawa lagu-lagu slow, lagu rock pun dia ok.”
Lantaran itulah ada pemerhati buat ramalan Liza Hanim akan menang tahun ini. Namun beliau sempat berpesan agar “jangan terlalu berharap. Doakan saya dapat buat persembahan terbaik dan sentiasa sihat InsyaAllah.”
Dilahirkan dengan nama penuh Haliza Hanim Abdul Halim, MediaCorp turut difahamkan bahawa Liza Hanim, sebenarnya pernah mendapat tawaran untuk menyertai program GV bagi tiga musim yang sudah.
Namun hanya untuk musim 2017 ini beliau bersedia menerima lamaran pihak penerbit untuk bertanding. Malahan musim kali ini juga, Liza Hanim perlu berentap dengan idolanya sendiri iaitu penyanyi malar segar, Aishah.
Jadi, ke mana perginya anak didik komposer Adnan Abu Hassan itu selama ini? Ini alasannya: “Saya dan suami perlu menguruskan perniagaan sebenarnya. LH Media Sdn. Bhd., yang sudah beroperasi selama 11 tahun.
“Ia sebuah perniagaan berteraskan aktiviti pengiklanan dan pengurusan acara. Selama ini, kita hanya duduk di depan tabir, jadi sepanjang saya hilang itu, saya belajar kerja-kerja belakang tabir pula,” jelas Liza Hanim.
MediaCorp juga bertanya apakah benar bahawa Liza Hanim sebelum ini merajuk dengan industri hiburan tempatan atau, memang sudah bersara daripada dunia nyanyian sebelum memutuska untuk kembali menerusi GV 2017?
“Tak merajuk lah, kenapa nak merajuk? (ketawa). Dengan syarikat memerlukan perhatian bagi memastikan ia dapat berjaya, sudah tentu saya harus beri perhatian penuh. Kemudian, saya dikurniakan rezeki anak pula. Alhamdulillah.
“Jadi ada pengorbanan yang harus saya lakukan pada ketika itu. Sekarang saya sudah ada empat orang anak dan saya cukup bahagia, alhamdulillah kerana telah membesarkan mereka sendiri,” terangnya pada MediaCorp.
Liza Hanim bagaimanapun tidak menafikan bahawa penyertaannya untuk GV pada kali ini juga adalah atas desakan peminat-peminat setianya yang mengesyorkan agar beliau membuat penampilan semua melalui cara bertanding.
Dengan penuh keyakinan isteri kepada bekas anggota kumpulan Indigo iaitu Mohamed Shahrin Samsudin sejak 2003 dan pernah menjadi naib juara untuk pertandingan Golden Teen Search 1996 itu sekadar mengatakan:
“Peminat dah bertahun seru saya sertai GV, kebetulan pula kali ini ada kelapangan dan saya tekad diri. Senang cerita ini semua perancangan Allah. Saya memang dedikasikan perjuangan di GV untuk peminat yang sangat dihargai.”
Sebenarnya ramai juga yang terkejut apabila Liza Hanim diumumkan sebagai salah seorang peserta yang bakal bertanding untuk GV 2017 kerana sebelum ini langsung tiada pula khabar angin mengenai penyertaan dirinya.
Liza Hanim namun berkongsi bahawa beliau sebenarnya diamanahkan untuk merahsiakan dahulu penyertaannya dalam GV 2017 sehinggalah ke pengumuman rasmi yang dibuat oleh pihak penerbit rancangan tersebut.
Apa yang pasti, ramai peminat dan pengamat hiburan tempatan kini menantikan, sama ada suara emas Liza Hanim akan sekali lagi bergemerlapan dengan gelaran juara GV musim keempat ini. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA