GEORGE TOWN – Sempena perayaan Deepavali minggu depan, Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) hari ini menyumbangkan pelbagai barang terutama makanan kepada tiga rumah kebajikan di Pulau Pinang.
Pegawai Maklumat PPSN Zuraini Mad Zin berkata sumbangan kepada Rumah Anak Yatim Sri Cahaya, Rumah Perak Jubliee dan Rumah St Nicholas itu adalah antara program tanggungjawab sosial korporat pihaknya dalam membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira kaum.
“PPSN ingin berkongsi keceriaan Deepavali tahun ini bersama anak-anak yatim, warga tua dan golongan kurang upaya penglihatan di tiga buah rumah kebajikan itu dengan memberi sumbangan keperluan harian asas serta makanan.
“Kami harap sumbangan PPSN akan membantu menjadikan ‘pesta lampu’ kali ini lebih mesra bagi mereka yang menyambutnya dan memupuk persefahaman serta keharmonian antara masyarakat… ia bukan hanya dapat meringankan beban kewangan mereka tetapi juga membawa harapan serta kebahagiaan pada perayaan itu,” katanya selepas memberi sumbangan di Rumah Anak Yatim Sri Cahaya di Permatang Damar Laut dekat sini.
Seramai 10 sukarelawan PPSN turut membantu penyediaan untuk sambutan Deepavali yang diraikan pada 18 Okt ini dengan melukis ‘kolam’ (seni beras).
Zuraini berkata sumbangan itu merupakan program tahunan yang dijalankan PPSN dan bilangan rumah kebajikan yang menerima bantuan dapat ditambah tahun depan.
“Selain sumbangan pada musim perayaan, PPSN turut menyalurkan bantuan kepada rumah-rumah kebajikan di Pulau Pinang dari semasa ke semasa bagi membantu meringankan beban mereka,” katanya.
Sementara itu, pengasas Rumah Anak Yatim Sri Cahaya T. Kaliamah berkata pihaknya mengucapkan terima kasih kepada PPSN yang sentiasa prihatin dengan nasib anak-anak yatim yang tinggal di situ.
Beliau berkata seramai 36 orang berusia tujuh hingga 35 tahun tinggal di rumah kebajikan itu manakala lebih 300 keluarga turut mendapatkan bantuan seperti keperluan asas dan makanan daripada mereka setiap bulan.
“Rumah ini dibuka pada 1999 dan pada permulaannya kami menjaga anak-anak ibu tunggal yang bekerja dan kemudian ia dibuka kepada anak-anak yatim, mereka yang kurang berkemampuan serta warga emas. Kami turut memberi bantuan kepada keluarga miskin serta pesakit kronik,” katanya. – BERNAMA