TANJUNG MALIM – Inisiatif kerajaan menjadikan Tanjung Malim sebagai perintis pelaksanaan Bandar Belia 1Malaysia (1MYC) berjaya mengubah daerah itu daripada sebuah bandar yang lengang kepada pesat membangun.
Merancakkan lagi pembangunan di Tanjung Malim sudah tentu dengan adanya kilang kereta nasional negara iaitu Proton, sekali gus memberi pelbagai manfaat kepada penduduk tempatan khususnya golongan muda, hasil daripadanya peluang pekerjaan diwujudkan.
Seorang guru Nur Emilia Azmi, 35, berkata transformasi pembangunan bandar Tanjung Malim sememangnya memenuhi kehendak belia kerana ia dapat mengurangkan penghijrahan golongan itu ke bandar besar.
“Inisiatif kerajaan membangunkan daerah ini tentunya memberi peluang kepada golongan muda memajukan diri dalam pekerjaan, keusahawanan, selain meningkatkan kemahiran diri melalui semua program yang dilaksanakan,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.
Nur Emilia berkata selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, kemudahan infrastruktur juga perlu diutamakan seperti menyediakan lebih banyak sekolah, tadika, klinik serta pengangkutan awam, seiring dengan pembangunan.
Seorang penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Norsiana Nasir, 25, berkata pembangunan di bandar itu banyak memberi kesan kepada golongan belia khususnya pelajar di Institusi Pengajian Tinggi Awam kerana banyak acara dan program khas disediakan untuk mereka.
Katanya antara yang dekat di hati golongan muda adalah festival Trak Makanan yang mendedahkan pelajar kepada ilmu keusahawanan selain Sarang Art Hub iaitu sebuah galeri seni.
“Pelajar jurusan muzik menjalankan tugasan mereka dengan membuat persembahan di Sarang Art Hub untuk dapatkan markah. Saya juga pergi ke sana untuk belajar cara masakan dan melayan pelanggan,” kata penuntut semester akhir jurusan Kemahiran Hidup di Fakulti Teknikal dan Vokasional UPSI.
Tambahnya, bagi pelajar dalam bidang automotif pula mereka boleh membuat rujukan dan praktikal di kilang Proton di Proton City.
Pengerusi Majlis Belia Daerah Muallim Azhari Abdullah Sani berkata usaha mempromosikan Tanjung Malim sebagai bandar belia dilaksanakan oleh pelbagai pihak termasuk Majlis Belia Malaysia, Majlis Belia Negeri Perak, Majlis Belia Daerah Muallim serta Kementerian Belia dan Sukan.
“Daerah itu sememangnya sesuai dibangunkan sebagai bandar belia dan automotif. Saya percaya Tanjung Malim akan menjadi bandar yang pesat membangun seperti bandar lain,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Tanjung Malim Mohd Syukri Azaari berkata Tanjung Malim diramal bakal membangun dengan lebih pesat hasil daripada kerjasama strategik antara Proton Holdings Bhd (Proton) dengan syarikat China, Zhejiang Geely Holding Group (Geely).
“Kami jangkakan dapat mengutip hasil sebanyak RM20 juta dalam masa terdekat.
“Bilangan penduduk juga dijangka meningkat kepada 100,000 sebaik pelan pengembangan Proton bermula berbanding 70,000 orang sekarang dan 40,000 penduduk sebelum industri automotif bertapak di kawasan ini,” katanya.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sebelum ini berkata industri pembuatan kereta nasional menjadi teras utama dalam pelan pembangunan Wilayah Perak Selatan (WPS) di Tanjung Malim.
Beliau berkata kerajaan negeri kini dalam peringkat akhir menyiapkan pelan pembangunan WPS yang bermula di Tanjung Malim hingga Bagan Datuk sebagai koridor ekonomi baharu.
Katanya cadangan pembangunan di kawasan itu untuk tempoh jangka pendek dan 30 tahun akan datang, akan dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) bagi tindakan lanjut. – BERNAMA