Sunday, December 8, 2024

Creating liberating content

Pelajar GiatMARA Terkena Renjatan...

SEKINCHAN : Seorang pelajar lelaki cedera terkena renjatan elektrik di GiatMARA Sekinchan, di...

Tiada Virus Serotip Baharu...

PUTRAJAYA - Tiada virus serotip baharu bagi demam denggi ditemui dan kemungkinan wujudnya...

Polis Tahan 3 Lelaki,...

SHAH ALAM - Polis menumpaskan satu kumpulan samun kedai serbaneka dan restoran 24...

Komunis: Malaysia Bikin Kecoh...

JAKARTA - Alkisah empat rakyat Malaysia termasuk dari Institut Terjemahan dan Buku Malaysia...

Kisah Pejuang Kemerdekaan Dalam ‘Doku Wira’

KUALA LUMPUR – Novelis, yang juga Pengarah drama televisyen, Raiha Bahaudin sentiasa kagum dengan sejarah Malaysia, terutamanya era pra-kemerdekaan yang menyaksikan kebangkitan rakyat yang berani dan bijaksana menentang pentadbiran British.

Pada 2015, beliau membuat keputusan untuk memulakan sebuah projek perintis – menghasilkan dokumentari mengenai wira-wira abad ke-19 dan ke-20 di negara ini, yang meletakkan asas untuk membebaskan negara daripada belenggu penjajah.

Beliau sedar, untuk melaksanakan projek itu bukanlah mudah. Mengikut kata hati, tanpa berfikir panjang, dan mengetepikan soal rumit serta remeh, beliau dan kru di bawah kelolaan Kelembai Studios Sdn. Bhd., syarikat miliknya, segera menerbitkan satu episod perintis mengenai Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako (1909-1991), seorang penulis Melayu yang terkenal dalam menyemarakkan semangat nasionalisme.

Raiha, 40, menggunakan video berkenaan untuk meyakinkan Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia bahawa projek dokumentarinya layak dibiayai di bawah Dana Pembangunan Industri Kreatif.

Setelah berjaya mendapatkan modal hampir RM1 juta ringgit, maka bermulalah penjelajahan mereka ke seluruh negara menjejaki 13 wira negara yang dipilih untuk dokumentari 13 episod berbentuk ‘travelog’ bertajuk “Dokumentari Wira” (Doku Wira).

Pelbagai kisah diperoleh daripada anggota keluarga yang masih hidup dan bermacam-macam maklumat daripada para penyelidik sejarah tempatan membantu Raiha dalam mengabadikan sumbangan beberapa pejuang negara dalam dokumentarinya.

Selain Pak Sako, kisah wira lain yang dipaparkan adalah Dato Maharajalela Pandak Lam, Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong, Mat Kilau, Dato Bahaman, Dato’ Dol Said, Dato’ Bentara Luar Johor Salleh Perang, Leftenan Adnan Saidi, Kanang Anak Langkau, Rosli Dhoby, Rentap dan Datu Paduka Mat Salleh.

Setiap episod yang berdurasi 45 minit, mengupas asal-usul tokoh, sejarah sosiopolitik dan kronologi perjuangannya menerusi penjelasan sejarahwan, wawancara waris serta lakonan semula babak-babak penting.

MANIPULASI PERKATAAN OLEH PENJAJAH

Siri dokumentari itu, yang mana penggambarannya bermula awal tahun lepas, mengambil masa setahun untuk disiapkan. Sehingga rencana ini ditulis, dokumentari itu masih menjalani proses penilaian oleh sebuah stesen televisyen kerajaan.

Banyak yang dilalui Raiha sepanjang pembikinan Doku Wira. Antaranya, belum pun penggambaran bermula, terdapat masalah untuk mendapatkan bahan rujukan apabila waris tokoh tertentu merajuk dan tidak mahu bekerjasama.

“Apabila mulakan dokumentari ini barulah saya tahu ada benda-benda yang saya sebut telah menimbulkan kemarahan waris.

“Contohnya, saya gunakan perkataan ‘pemberontakan’ dalam soalan bertulis. Salah seorang waris kata saya mengikut demokrasi Inggeris dan dia terus ‘reject’ soalan saya,” ceritanya kepada Bernama pada hari pelancaran Dokumentari Wira, di ibu kota baru-baru ini.

Setelah merujuk kepada pakar sejarah baharulah Raiha memahami bahawa perkataan memberontak atau ‘rebel’ adalah helah pihak Inggeris dalam dokumentasi mereka untuk memberi gambaran negatif terhadap para pejuang tempatan yang menentang kolonialisme di negeri masing-masing.

Perkataan yang lebih sesuai digunakan adalah “kebangkitan”.

“Catatan Inggeris banyak memanipulasi perkataan. Contohnya kalau mereka menyerang Rentap dan Dol Said, ia dipanggil “expedition”, tetapi apabila orang tempatan atau orang Melayu melawan, ia disebut sebagai “rebellion”,” jelasnya.

Justeru, Raiha memasukkan cerita lisan oleh waris serta sumber daripada pengkaji sejarah tempatan bagi mengimbangi laporan berat sebelah pihak penjajah.

MENJEJAKI RAJA BUKIT

Pengacara televisyen Fazleena Hishammudin, yang terlibat dalam dokumentari itu, mengakui mendapat pengalaman yang tidak ternilai sepanjang penggambaran itu.

Bahagian yang paling mencabar adalah apabila mereka merakamkan episod yang memperlihatkan pahlawan Iban-Dayak Sarawak bernama Rentap (1800-1863) yang bangkit menentang pemerintahan kolonial British di bawah James Brooke.

Fazleena, 36, masih ingat lelah nafas dan lencun peluh ketika mendaki puncak Bukit Sadok (daerah Betong) untuk menziarahi makam Raja Ulu atau Raja Darat Iban dan seterusnya menjalankan penggambaran.

“Episod untuk Rentap bagi saya memang mencabar. Walaupun dipanggil ‘bukit’ sebenarnya bukit-bukit di Borneo tingginya seperti gunung di Semenanjung,” katanya.

Beliau dan kru menempuh hutan belukar selama satu jam dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda sebelum meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki. Dengan memikul peralatan untuk penggambaran, mereka mengambil masa hampir satu jam lagi untuk sampai ke puncak.

Rentap, yang digelar Raja Bukit, pernah membina kubu di Tabat, suatu kawasan di kaki Bukit Sadok, semasa perjuangannya menentang pemerintahan Inggeris di bawah Rajah Brooke sekitar 1840an ke 1860an.

Kata-kata keramat Rentap, “Agi Berdarah Agi Ngelaban, Agi Idup Agi Ngelaban” seolah-olah bergema dalam udara Bukit Sadok dan Fazleena dapat merasai betapa semangat pahlawan itu masih hidup dalam jiwa masyarakat setempat.


ISTIMEWANYA PEJUANG KEMERDEKAAN

Seperti diakui Raiha, mengumpulkan 13 tokoh pejuang dalam satu siri dokumentari bukanlah satu tugas mudah. Kesemua mereka memiliki keberanian dan berkongsi rasa cinta yang mendalam pada nusa, tetapi setiap tokoh tetap unik dan mempunyai pengkisahan tersendiri yang menarik.

Antara yang terkesan di hati Raiha adalah bagaimana sebahagian daripada para pejuang itu lebih banyak menggunakan daya fikir daripada ilmu persilatan atau kekuatan senjata untuk menangani “orang putih”.

Beliau memberi contoh Datuk Bentara Luar Johor, Muhammad Salleh Perang dan ulama tersohor Terengganu Abdur Rahman Abdul Hamid yang lebih dikenali sebagai Haji Abdul Rahman Limbong.

Walaupun berbeza kedudukan dalam masyarakat iaitu Muhammad Salleh seorang aristokrat manakala Haji Abdul Rahman Limbong pula agamawan, kedua-duanya adalah ahli intelek yang berjasa kepada rakyat.

“Datuk Bentara Luar mempertahankan Johor daripada Inggeris dengan menjadikan negeri itu stabil dan mempunyai hubungan luar yang rapat dengan Jepun dan China.

“Beliau menggunakan pangkatnya sebagai Menteri Luar dan kemahiran diplomasi untuk memastikan pemerintahan Johor tidak terlalu diganggu Inggeris,” kata Raiha berdasarkan sumber yang diperolehinya.

Muhammad Salleh memegang beberapa jawatan penting dalam pentadbiran Johor dari 1856 hingga 1912, antaranya sebagai Pesuruhjaya Polis Negeri dan ketua Jabatan Tanah dan Ukur Negeri.

Beliau turut dikenali sebagai arkitek pembangunan negeri Johor ketika itu, khususnya daerah Batu Pahat, selain mahir berbahasa Cina (dialek Hokien) dan arif adat resam orang Cina.

Haji Abdul Rahman Limbong pula memulakan gerakan menentang kezaliman Inggeris dalam kalangan petani di Terengganu khususnya dalam isu tanah pertanian dan cukai.

Berdasarkan kajian, Raiha berkata Haji Abdul Rahman Limbong, “bukanlah calang-calang ulama”. Beliau bukan sahaja menguasai ilmu akhirat malah ilmu duniawi. Buktinya, ulama itu mempunyai perniagaan dan kapal sendiri untuk berdagang.

Haji Abdul Rahman Limbong juga pernah menjadi peguam untuk mewakili para petani yang ditangkap pihak Inggeris kerana dikatakan bertani di tanah wakaf.

“Kebanyakan pejuang lain adalah golongan pembesar negeri, tetapi beliau tiada kepentingan dalam negeri.

“Beliau pendakwah yang mengajar agama di kampung-kampung, namun tetap berjuang untuk menolong rakyat terutamanya golongan petani,” cerita Raiha kagum.

MAHU TERUS TERBITKAN ‘DOKU WIRA’

Walaupun banyak cabaran, Raiha bercadang untuk menghasilkan lebih banyak dokumentari berkaitan para pejuang negara kerana masih ramai tokoh yang belum diketengahkan.

Kisah mereka perlu dirakamkan sebagai rujukan dan teladan kepada generasi masa hadapan.

“Memang penat (menghasilkan dokumentari) tapi penatnya mengisi jiwa, rasa sangat berbaloi,” ujar Raiha.

Daripada proses menghasilkan dokumentari itu, Raiha dapat melihat skop yang lebih luas berkaitan penentangan rakyat terhadap penjajah.

“Kita dapat lihat bahawa kebangkitan untuk mengejar kemerdekaan itu tidak berlaku secara terasing. Contohnya, Datuk Bahaman (Pahang) memulakan penentangan di bahagian pantai timur dan perjuangan beliau disambut Mat Kilau (Pahang) dan Tok Janggut (Kelantan), dan kemudian Haji Abdul Rahman Limbong.

“Di Sarawak, perjuangan Rentap disahut Sharif Mansor, manakala di Sabah selepas kematian Mat Salleh perjuangan disambung pula Antanum.

“Semboyan perjuangan tidak pernah padam, ia hanya bertukar tangan,” tegasnya. – BERNAMA

Kategori