GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang akan memberikan kerjasama penuh kepada pasukan elit Bukit Aman bagi memastikan setiap pegawai atau anggota tidak terlibat melindungi sindiket pengedaran dadah dalam usaha menangani kebocoran maklumat operasi dadah.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Chuah Ghee Lye berkata pihaknya juga bersedia untuk memberikan maklumat yang diperlukan.
“Kontinjen Polis Pulau Pinang akan beri kerjasama penuh dalam isu itu dan jika ada pegawai atau anggota saya yang didapati melindungi sindiket dadah, saya tidak akan berkompromi dan ambil tindakan tegas.
“Setakat ini yang saya tahu tiada pegawai atau anggota di Pulau Pinang terlibat dan kami sentiasa bersedia sekiranya mahu buat rombakan…setakat ini saya belum lagi menerima arahan dari Bukit Aman,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Ikrar Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan semua IPK dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) disiasat susulan kebocoran maklumat operasi dadah.
Ahmad Zahid dilaporkan berkata beliau tidak menolak kemungkinan kes kebocoran maklumat susulan penahanan 16 anggota termasuk pegawai kanan Bukit Aman turut berlaku di IPK dan IPD serta tindakan paling keras akan diambil terhadap mereka selepas mendapat bukti.
Pada Isnin, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman akan dirombak susulan 16 pegawai kanan dan anggota disyaki bersekongkol dan melindungi sindiket dadah.
Sementara itu, Chuah berkata Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) IPK Pulau Pinang telah membuka lapan kertas siasatan berkaitan kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan seorang pegawai dan 20 anggota polis sejak tahun lepas hingga semalam.
Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 12 orang telah dituduh di mahkamah dan lima daripadanya ditahan kerja manakala tujuh lagi masih dalam proses untuk tahan kerja.
“Dalam tempoh sama, seramai tiga anggota polis dibuang kerja kerana sabitan kes SPRM di mahkamah. Jadi saya ingin mengingatkan semua pegawai dan anggota di negeri ini tentang pentingnya pemantapan integriti dan kami tidak bertoleransi dalam menangani gejala rasuah,” katanya.
Terdahulu pada majlis itu, seorang anggota polis iaitu Konstabel Muhammad Norzulkhairee Md Akhir, 27, menerima sijil penghargaan daripada Chuah serta surat pengiktirafan daripada SPRM kerana menolak sogokan bernilai RM1,000 daripada seorang suspek lelaki kerana melakukan kesalahan membawa pendatang tanpa izin.
Muhammad Norzulkhairee yang bertugas di Balai Polis Tanjung Tokong, berkata suspek yang ditahan bagi tujuan pemeriksaan menawarkan wang tunai RM1,000 bagi mengelak daripada ditahan kerana membawa empat lelaki Bangladesh yang tidak mempunyai dokumen perjalanan. – BERNAMA

