KUCHING – Tidak sampai 36 jam selepas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan empat bot asing bersama 30 awak-awak dan tekong warga Vietnam, tiga lagi bot bersama 40 awak-awak dan tekong dari negara sama ditahan kerana menangkap ikan secara haram di perairan Sarawak.
Pengarah Daerah Maritim APMM Kuching, Kapten (M) Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata kali ini nelayan itu dilihat semakin terdesak apabila bot pertama cuba menawarkan rasuah RM1,000, manakala bot kedua RM2,000 dan bot ketiga RM1,000 supaya dibebaskan.
Beliau berkata awak-awak dan tekong yang berumur antara 17 dan 60 tahun ditahan selepas bot-bot mereka diperiksa semasa berada di kedudukan kira-kira 90 batu nautika ke utara dari Tanjung Po pada awal pagi Selasa lepas.
“Semasa diperiksa, bot-bot berkenaan didapati membawa 20 tan ikan pelbagai jenis yang dianggar bernilai RM40,000.
“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 bagi kesalahan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa lesen dan permit yang sah, manakala bagi kesalahan cubaan merasuah, kes akan disiasat mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009,” katanya dalam sidang media hari ini.
Ahad lepas APMM menahan empat bot nelayan asing bersama 30 awak-awak dan tekong dari Vietnam di sekitar 85 batu nautika dari Tanjung Sirik pada kira-kira pukul 5.30 petang.
Shahref berkata berdasarkan statistik semasa, pihaknya mendapati jumlah bot dari Vietnam yang menangkap ikan secara haram di kawasan perairan Sarawak semakin meningkat dengan agak ketara sejak kebelakangan ini.
Menurutnya dalam tempoh antara Januari hingga semalam, APMM telah menahan 13 bot nelayan Vietnam kerana kesalahan menangkap ikan secara haram di kawasan perairan negara, satu jumlah yang besar berbanding hanya 14 bot nelayan negara itu yang ditahan sepanjang tahun lepas.
Beliau berkata faktor itu mungkin kerana Vietnam mempunyai tenaga kerja yang ramai, kelengkapan bot dan peralatan menangkap ikan yang banyak di sana, sekali gus mengakibatkan persaingan sengit sesama mereka.
Shahref berkata keadaan itu diburukkan lagi dengan sikap tidak bertanggungjawab syarikat tempatan yang turut bersekongkol membantu, seolah-olah ‘menjemput’ mereka dengan memberi pelbagai kerjasama untuk mereka beroperasi secara haram di perairan negara, semata-mata bagi mengaut keuntungan mudah.
Sehubungan itu, Shahref meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan haram di laut untuk menghubungi hotline Pusat Operasi Maritim dengan menelefon 082-432 544. – BERNAMA

