Monday, December 9, 2024

Creating liberating content

Saintis Australia Berjaya Tiru...

SYDNEY - Saintis di Australia dilaporkan berjaya meniru koronavirus dan menganggap ia sebagai...

Perintah Berkurung Di ESSZone...

KOTA KINABALU - Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat...

Tiga Remaja Maut Apabila...

BATU PAHAT – Tiga remaja maut selepas motosikal yang mereka tunggang bertembung di...

Berdepan ‘Bujang Senang’, Cabaran...

SRI AMAN - Terserempak dengan kira-kira 30 ekor buaya di Sungai Batang Lupar,...

Kleptomania: Mencuri Kerana Kecelaruan Mental

KUALA LUMPUR – “Amy suka mencuri walaupun barangan itu tidak mahal mana. Walau sudah saya berikannya wang, tetap akan ada sahaja barang yang dicurinya… tengok-tengok sudah ada tersorok di dalam biliknya.”

Keluh seorang surirumah yang mahu dikenali sebagai Anne May, 37, mengenai tabiat anak gadisnya, 13, yang ketagih mencuri pelbagai barangan kecil seperti gula-gula, alat tulis dan permainan.

Anne, pada mulanya menyedari anaknya suka ‘mengambil’ barang-barang milik saudara mara atau ‘jajan’ di kedai runcit ketika kecil, namun menyangkakan ia hanyalah sikap kanak-kanak nakal yang sedang dalam proses pembesaran.

Namun sangkaannya meleset apabila ketagihan yang dialami anaknya, yang cuba dirahsiakan daripada pengetahuannya itu, sebenarnya menjadi semakin serius kira-kira empat tahun yang lepas.

“Biasanya saya akan tegur dan minta dia pulangkan kembali barang yang diambil, dan meminta maaf. Saya ajarkan yang mencuri itu salah, namun saya tidak pandang serius sikapnya ketika itu kerana tidak sangka mencuri akan terus menjadi sebahagian dari dirinya.

“Hinggalah saya terjumpa sebuah kotak di bawah katil yang disimpannya sejumlah barang yang saya tidak pernah lihat… bila didesak, baharulah dia mengaku ia hasil mencuri dan dia rasa ketagih untuk melakukannya,” katanya kepada Bernama.

RANGSANGAN SPONTAN

Menilai daripada rupa fizikal, Amy kelihatan normal seperti remaja seusianya. Namun dalam diam gadis itu adalah antara penghidap Kleptomania iaitu ketagihan mencuri yang didorong oleh gangguan kesihatan mental.

Memang, mencuri untuk apa jua alasan adalah tetap salah dan seharusnya dihukum. Namun sedarkah bahawa ada yang mencuri kerana mempunyai gangguan kawalan impuls?

Mungkin ada antara kita akan berkata begini, “Ah, takkanlah tidak boleh kawal? Alasan sahaja tu, menipu!”

Namun menurut Pensyarah Kanan Psikologi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Harris Shah Abd Hamid, penghidapnya mempunyai ketagihan serta keinginan mencuri yang membuak-buak dan ketidakupayaan untuk membendung diri apabila ‘perasaan’ itu datang.

Keinginan untuk mencuri itu terdetik dengan tiba-tiba tatkala seseorang itu melihat sesuatu barangan, meskipun ia mampu dibeli dan bukanlah barangan yang berharga atau diperlukan.

Kleptomania berbeza dengan jenayah curi yang lain, yang mana jenayah seperti seluk saku atau ‘shoplifting’ kebiasaannya dirancang rapi dan bertujuan untuk keuntungan kewangan.

“Kleptomania, keinginan mencuri itu bukan sesuatu yang direncanakan, tetapi merupakan rangsangan spontan, rasa anxiety, rasa adrenaline rush.. keinginan itu begitu kuat dan akan menguasai diri… dia tidak berdaya melawan walau tahu mencuri itu salah.

“Apabila dia berjaya mencuri, dia akan rasa lega dan puas tetapi kemudiannya akan rasa bersalah dan tidak selesa dengan apa yang telah dilakukannya…perasaan itu akan terus bermain-main di minda hinggakan ia mengganggu kehidupan sehariannya,” katanya.

Kebiasaannya Kleptomania bermula dari zaman kanak-kanak lagi dan perempuan lebih cenderung menderita gangguan psikologi itu.

Kajian Universiti Stanford misalnya, mendapati di Amerika Syarikat, lebih sejuta orang dipercayai penderita Kleptomania, yang mana kira-kira 60 peratus daripadanya adalah perempuan.

“Kesedaran yang rendah mengenai Kleptomania dan diagnos tidak dilakukan, malah kes sebegini tidak dilaporkan, menyebabkan tidak mustahil jumlah penderitanya termasuklah di negara ini cukup tinggi,” katanya.

TAKUT UNTUK MENGAKUI

Harris Shah berkata penderita kleptomania memerlukan dorongan dan sokongan yang berterusan dari orang sekeliling terutamanya keluarga terdekat dan sahabat handai.

“Sekiranya ada kanak-kanak yang mencuri, ramai yang menganggap mereka nakal sedangkan ini adalah masalah kecelaruan psikologikal, bukannya masalah nakal, bukannya masalah perkembangan kanak-kanak itu sendiri.

“Maka orang yang terdekat itu kena peka dan faham… jangan terus menghukum apabila mereka mengakui… cuba dapatkan bantuan seperti kaunseling atau berjumpa dengan pakar psikologi klinikal,” katanya.

Katanya, tidak seperti gangguan psikologi lain seperti kemurungan dan Gangguan Obsesif Kompulsif (OCD), penderita Kleptomania malu dan takut untuk meminta bantuan kerana risau akan penerimaan dan stigma negatif masyarakat, selain terpaksa berhadapan dengan pelbagai risiko.


“Kalau dia mengaku, orang sekeliling mungkin tidak akan faham dan akan menghukum atau menghina perbuatannya… malah tingkahlaku mencuri itu sendiri mempunyai kesan perundangan, mungkin akan ada yang melaporkannya ke pengetahuan pihak berkuasa.

“Bila difikirkan kesannya, dia jadi takut dan tentunya tidak akan sesekali mengaku atau cuba mendapatkan rawatan berbanding dengan orang yang ada OCD atau kemurungan,” katanya.

Beliau berkata apabila penderita Kleptomania tertangkap, proses yang terlibat ialah proses perundangan, bukannya proses perubatan psikologikal. Maka dia akan dijatuhkan hukuman sama seperti pencuri yang lain.

“Orang mungkin tidak sedar termasuklah mereka yang di dalam sistem perundangan mungkin tidak sensitif mengenai kecelaruan psikologikal ini…bagi mereka mencuri adalah mencuri sedangkan yang ditangkap itu sepatutnya diberikan rawatan, bukannya hukuman,” katanya.

Beliau berkata mereka yang mendakwa mengalami kecelaruan psikologi seperti Kleptomania seharusnya dirujuk terlebih dahulu kepada pakar psikologi klinikal supaya boleh didiagnos sama ada dakwaan itu benar atau tidak.

“Sewajarnya ada ahli psikologi dilibatkan dalam kes begini… kalau pencurian itu kerap sangat dilakukan atau pun pertama kali tetapi mereka tahu tabiat itu salah namun buat juga kerana tidak dapat kawal diri, sepatutnya mereka dirujuk kepada pakar.

“Ia juga bagi memastikan pesalah tidak menjadikan Kleptomania sebagai alasan untuk melepaskan diri dari kesalahan… Kleptomaniac hanya boleh disahkan oleh pakar sahaja,” katanya.

MENGAPA KLEPTOMANIA TERJADI

Harris Shah berkata hingga kini penyebab Kleptomania tidak diketahui secara jelas, namun terdapat beberapa teori termasuklah ketidakseimbangan hormon otak (neurotransmitter) dalam sistem saraf.

Beliau berkata satu daripada hormon yang dikenalpasti adalah Serotonin.

Kekurangan Serotonin dikaitkan dengan tingkah laku yang tidak dapat dikawal termasuklah Kleptomania.

Sistem saraf individu yang ketagih juga akan mengeluarkan sejenis bahan bio chemistry yang menyebabkan seseorang itu berasa seronok dan seperti di awan-awangan apabila berjaya mencuri.

Tambahnya, kebiasaannya individu yang didiagnos dengan Kleptomania juga berkemungkinan mempunyai masalah psikologi yang lain seperti kemurungan dan OCD.

“Tetapi tidak diketahui yang mana datang dahulu…datang serentak atau berturut tidak pasti…teori tentang Kleptomania memang ada tetapi punca sebenarnya tidak tuntas,” katanya.

Beliau berkata jika tidak dirawat dari awal, penderita kleptomania ini mungkin akan terus mencuri untuk seumur hidup, kerana Kleptomania adalah gangguan psikologi yang sukar untuk sembuh.

“Kalau punca sebenar adalah masalah sistem sarafnya, maka selagi masalah itu tidak dibetulkan, maka selagi itulah dia akan mencuri…tetapi kalau Kleptomania berpunca dari kecelaruan psikologi yang lain dan kecelaruan itu dapat diubati, mungkin pada masa sama simptom Kleptomania itu pun dapat
dikurangkan,” katanya.

Meskipun tiada rawatan jelas yang boleh menyembuhkan sepenuhnya, namun rawatan terapi dan ubat-ubatan bagi memperlahankan seterusnya melawan ‘panggilan’ gangguan psikologi boleh dilakukan.

Management of symptom seperti rawatan terapi yang mana antaranya penderita akan dilatih untuk mengendalikan dan mengurangkan rasa ‘anxiety’ supaya ia tidak akan mendorong kepada mencuri…bila dapat latih rasa ‘anxiety’ itu, dia akan dapat kawal tingkah laku dia.

“Ubat-ubatan bagi menambah bilangan Serotonin dalam sistem saraf juga mungkin akan diberi…namun ini semua hanya kawalan, tidak dapat sembuhkan sepenuhnya gangguan ini,” katanya.

Namun katanya, kematangan fizikal dan emosi juga dapat mempengaruhi seseorang itu untuk berubah sekiranya dia mendapatkan rawatan sejak awal, selain sokongan sosial yang tidak putus dari orang sekeliling. – BERNAMA

Kategori