KUALA LUMPUR – Kesediaan Filipina membenarkan pasukan keselamatan Malaysia memburu kumpulan penculik dan pengganas sehingga merentasi sempadan maritim negara itu mampu meningkatkan usaha mengekang jenayah rentas sempadan yang semakin berleluasa.
Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar yakin keputusan itu akan memberi kesan lebih efektif kepada usaha pihak berkuasa Malaysia dan Filipina untuk menangani jenayah tersebut.
“Jenayah rentas sempadan perlu ditangani secara bersama kerana jelas ia tidak boleh ditangani oleh sebuah negara sahaja,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau mengulas keputusan Presiden Filipina Rodrigo Duterte, membenarkan pasukan keselamatan Malaysia dan Indonesia mengejar kumpulan penculik sehingga ke kawasan perairan negara itu bagi memastikan kumpulan berkenaan tidak terlepas.
Keputusan itu disampaikan pada pertemuannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya semalam, sempena lawatan rasmi presiden itu ke Malaysia selama dua hari bermula Rabu.
Kebenaran itu juga antara perkembangan baharu dalam rangka kerja tiga hala bagi menangani isu penculikan terutamanya di Sabah, yang didalangi kumpulan penculik untuk tebusan.
Turut menyambut baik tawaran itu, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, yang menyifatkan usaha berkenaan mampu memberi kesan positif kepada kedua-dua negara.
Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya masih menunggu prosedur operasi standard (SOP) yang akan digariskan dalam pelaksanakan perkara itu.
“Kalau sebelum ini pengganas masuk ke perairan negara jiran, kami sudah tidak boleh menjejaki mereka kerana setiap negara ada kedaulatan masing-masing, jadi keputusan ini akan memberi faedah kepada kedua-dua negara,” katanya kepada Bernama hari ini.
SOP dan aspek perundangan pelaksanaan operasi berkenaan antara akan dibincangkan pada mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan Filipina, Indonesia dan Malaysia di Vientiane, Laos pada 22 November ini. – BERNAMA

