KUALA LUMPUR – Seorang bekas kerani yang dijatuhi hukuman penjara kerana memiliki item berkaitan pengganas hari ini diberitahu supaya berhati-hati dengan setiap perbuatan kerana memiliki bahan seumpama itu dianggap memberi sokongan kepada keganasan.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohamad Shariff Abu Samah berkata demikian dalam penghakimannya di Mahkamah Tinggi sebelum menjatuhkan hukuman penjara dua tahun kepada tertuduh, Rafidah Juma’at, 26.
“Keadaan ini nampak Rafidah didapati bersalah. Walaupun tidak ada fakta yang menunjukkan Rafidah nak berjuang (dalam keganasan), kadang-kadang bila ada buku dan foto-foto, maksudnya sokongan itu ada.
“Misalnya saya tengok ‘wrestling’ (gusti), maksudnya saya minat wrestling.
Apabila Rafidah ada memiliki (item), jadi itu satu kesalahan, saya nak ingatkan Rafidah agar lebih berhati-hati,” kata pesuruhjaya kehakiman itu.
Tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap, 24 Mac lepas.
Wanita itu yang masih bujang didakwa memiliki item berunsur perbuatan keganasan dan berkait dengan kumpulan pengganas Daesh, Al-Qaeda dan Jemaah Islamiyah di satu alamat di Taman Bistari, Air Tawar, Manjung, Perak, pada 8.45 pagi, 24 Mac lepas.
Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item tersebut.
Berdasarkan fakta kes, pemeriksaan polis mendapati Rafidah memiliki 84 imej gambar dalam komputer ribanya dan empat buku berkaitan kumpulan pengganas.
Terdahulu ketika rayuan, peguam P A Sharon yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman minimum dengan alasan anak guamnya tidak pernah berminat untuk menguar-uarkan idelogi keganasan, sebaliknya perkara itu (pemilikan item) timbul kerana rasa ingin tahu tertuduh terhadap kumpulan itu sahaja.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa Kunyalam. – BERNAMA

