KUALA LUMPUR – Seramai 5,134 pekerja terlibat dalam langkah pengurangan pekerja Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Syarikat Milik Kerajaan menerusi Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan syarikat perbankan, kata Kementerian Kewangan.
Dalam jawapan bertulis kepada Lim Lip Eng (DAP-Segambut), yang diedarkan kepada media di Dewan Rakyat, kementerian itu berkata lima GLC telah memberhentikan atau tidak menyambung kontrak pekerjaan.
Syarikat yang terlibat ialah Malaysia Airline System Bhd. yang melibatkan 4,682 orang, Kumpulan Affin (146 orang), Boustead Holdings Bhd. (151 orang), Chemical Company of Malaysia Bhd. (153 orang) dan Malaysia Airlines Bhd. (dua orang).
“Bagi MKD, dua syarikat yang mengurangkan kakitangannya iaitu Petroliam Nasional Bhd. (1,000 orang) dan Bank Pertanian Malaysia Bhd. (36 orang),” katanya.
Kementerian Kewangan berkata pemberhentian pekerja ini disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuk penamatan operasi syarikat, penggabungan entiti dan proses penyesuaian persekitaran perniagaan pada sesuatu masa.
“Namun, syarikat telah memastikan bahawa setiap pekerja yang terlibat, ditawarkan pampasan kewangan yang adil dan berdasarkan hak masing-masing mengikut perjanjian kolektif sedia ada,” katanya. – BERNAMA