Saturday, October 5, 2024

Creating liberating content

Pemalsuan Tandatangan Deklarasi Rakyat...

KUALA LUMPUR - Satu laporan polis dibuat oleh seorang pesara tentera harini berikutan...

Lan Minta Diberi Ruang,...

RAMAI terkejut apabila kumpulan Kristal kini dikatakan sibuk ingin mencari vokalis baharu ekoran...

Virus Covid-19 Semakin Lemah?

Virus korona COVID-19 semakin lemah dan keupayaannya menyebabkan maut juga berkurangan, kata seorang doktor mapan Itali pada Ahad

23 Juta Pemegang MyKad...

PUTRAJAYA - Seramai hampir 23 juta pemegang kad pengenalan (MyKad) didapati tidak mengemaskini...

Jumlah Jemaah Haji Merosot Jejas Bisnes Di Tanah Suci

MAKKAH – Banyak aktiviti perniagaan Arab Saudi yang menyediakan perkhidmatan dan jualan barangan kepada para jemaah haji dari seluruh dunia terjejas pada tahun ini akibat bilangan jemaah yang merosot teruk.

Bahkan, jemaah tahun ini juga dikatakan mengurangkan perbelanjaan mereka ketika berada di Tanah Suci.  Keseluruhannya, perniagaan berkaitan haji merosot sebanyak separuh, kata Marwan Abbas Shaaban, ketua Jawatankuasa Haji dan Umrah di kerajaan tersebut.

Pihak berkuasa Arab Saudi menyatakan hanya sekitar 1.86 juta jemaah, termasuk 1.3 juta dari luar negara itu, datang menunaikan haji pada tahun ini, merosot berbanding rekod bilangan kemuncak hampir 3 juta orang yang dicatatkan beberapa tahun lalu.

Jumlah jemaah dari luar berkurangan sekitar 20 peratus dan jumlah jemaah Arab Saudi sendiri pula merosot sebanyak separuh, ujar Marwan. Jemaah asing yang datang ke Tanah Suci pula mempunyai wang belanja yang lebih sedikit, kata Ali al-Hirabi.

Dia yang menjual rantai dan cincin emas di sebuah kedai barangan kemas di bandar suci itu berkata: “Mereka memang datang ke kedai, tetapi situasinya tidak sama lagi seperti ketika dunia ini aman. Negara-negara Arab yang mempunyai masalah.”

Arab Saudi sendiri dan banyak negara jirannya dilaprkan terjejas akibat kejatuhan pada harga minyak dunia yang mengurangkan perbelanjaan negara, gaji serta perbelanjaan domestik. Perang di rantau Timur Tengah juga menjejaskan urusan haji.

Para pegawai memberikan pelbagai sebab mengapa jumlah jemaah merosot. Antara sebab paling ketara ialah boikot oleh Iran, yang melarang warganya daripada datang menunaikan haji tahun ini setelah hubungan diplomatik dengan Arab Saudi putus.

makkah

Ia susulan hukuman mati dijatuhkan kerajaan Arab Saudi terhadap ulama Syiah dan kumpulan pengikutnya. Usaha menunaikan haji tidak menjadi setelah Tehran menuduh Riyadh bertanggungjawab atas keselamatan tidak memuaskan pada musim haji tahun lalu.

Negara Parsi itu merujuk insiden tragik apabila sekurang-kurangnya 2,070 orang rakyatnya maut dalam rempuhan. Arab Saudi menyatakan keselamatan haji sudah diperbaiki berbanding tahun lalu dan menuduh Iran mempolitikkan haji dengan kritikan.

Rakyat Iran pada kelazimannya hanya membentuk kira-kira 7 peratus daripada bilangan jemaah haji dari luar negara, dan boikot tersebut sebenarnya tidak membentuk sebahagian besar daripada kemerosotan pada jumlah jemaah haji secara keseluruhan.

Satu lagi faktor ialah kerja-kerja pembinaan yang sedang dijalankan di sekitar Masjidil Haram sendiri, yang bertujuan meningkatkan keupayaannya untuk menampung para jemaah haji pada masa depan, namun bermakna ruang yang tersedia agak berkurangan.

“Sepanjang tiga tahun lepas, terdapat kemerosotan jumlah jemaah akibat kerja peluasan dua Masjid Suci dan peningkatan besar-besaran pada infrastruktur selain keadaan politik di sesetengah negara dan keadaan ekonomi sebagai faktor lain,” kata jurucakap kerajaan.


Perang di Syria, Iraq, Yaman dan Libya, menyebabkan jumlah jemaah merosot pada tahun-tahun lepas, juga bertambah buruk tahun ini. Majoriti warga Syria dan Yaman kini tinggal di wilayah dikuasai pihak penentang Arab Saudi, justeru sukar bagi mereka mendapat visa.

Datuk Bandar Makkah, Osama bin Fadl Al-Bar, bagaimanapun tidak memperbesarkan isu kemerosotan bilangan jemaah itu dan berkata:  “Tentunya ia ada kesan pada sektor ekonomi, namun sektor swasta selalu lihat pada sudut positif dan peluang pelaburan yang wujud.”

makkah2

Beliau berkata kerja perluasan Masjidil Haram dan hotel-hotel berhampiran, yang menjadikan kawasan itu dipenuhi kren, akan memacu perniagaan pada masa depan dan membolehkan bandar itu menampung 3.7 juta jemaah haji pada 2020 dan 6.7 juta menjelang 2042.

Sebagai sebahagian pelan pembaharuan agar Arab Saudi tidak terlalu bergantung pada minyak, kerajaannya ingin menggalakkan ramai lagi mengunjungi Makkah di luar musim haji, dan meningkatkan jumlah jemaah umrah kepada 30 juta menjelang 2030 berbanding 8 juta kini.

Namun beberapa pengkritik seni bina dan warisan kebudayaan tidak bersetuju dengan perubahan-perubahan pada landskap Makkah disebabkan projek-projek pembangunan mega, termasuk bangunan-bangunan tinggi dan sebuah menara jam raksasa setinggi 76 tingkat.

Sementara itu, meskipun jumlah jemaah merosot, para peniaga di Makkah nampaknya tidak pula mengurangkan harga mereka. Ini menyebabkan jemaah haji sering mengadu tentang kos barangan asas yang tinggi, terutama berhampiran dengan Masjidil Haram.

Ulama kanan Saudi, Sheikh Abdullah bin Sulaiman al-Manea memberitahu akhbar tempatan Okaz bahawa perniagaan-perniagaan tidak seharusnya merugikan para pelanggan mereka, dan mengkritik kemunculan papan-papan iklan yang berleluasa di bandar raya itu.

“Ibadah haji tidak seharusnya menjadi tempat perdagangan dan keuntungan,” katanya. Warga Maghribi, Fatima al-Murabit, yang menunaikan haji bersama-sama suaminya buat kali kedua berturut-turut berkata, harga barangan meningkat berbanding tahun lalu.

“Kurma pun mahal, dan sikap tidak sopan sesuatu yang biasa dalam kalangan peniaga dan pekerja pasar. Ada eksploitasi terhadap mereka yang tidak tahu-menahu. Saya harap ini berubah pada masa depan. Ramai datang untuk ke Masjid Nabawi dan Kaabah, tapi ada eksploitasi,” katanya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori