KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini menegaskan pegawai dan anggota polis yang terlibat dengan kegiatan jenayah, tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.
Justeru itu, beliau menafikan dakwaan Polis DiRaja Malaysia bertindak melindungi pegawai dan anggotanya yang terlibat dengan kegiatan jenayah.
“Tiada sesiapa yang akan diberi perlindungan sama ada anggota atau pegawai polis yang melakukan kesalahan…tindakan undang-undang akan tetap diambil.
“Itu menunjukkan kami tidak melindungi sesiapa yang lakukan jenayah, jadi tuduhan-tuduhan mengatakan polis tidak mengambil tindakan terhadap kakitangannya adalah tidak benar,” katanya kepada pemberita selepas majlis Serah Terima Tugas Pengarah Eksekutif Sekretariat ASEANAPOL di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai tindakan terhadap tiga anggota polis berpangkat Koperal dan Konstabel yang ditahan bersama-sama seorang rakan mereka bagi membantu siasatan kes culik seorang wanita di Kampung Silam, Lahad Datu, Sabah baru-baru ini.
Dalam kejadian kira-kira 10 malam pada 6 Jan lepas, seorang wanita berbangsa Suluk didatangi tiga lelaki bertopeng dan bersenjata api di rumahnya sebelum ditarik masuk ke dalam sebuah kereta Ford lama berwarna putih yang tidak mempunyai nombor pendaftaran.
Peniaga ikan berusia 44 tahun itu kemudiannya diugut bunuh jika gagal menyediakan wang tebusan RM50,000, sebelum diarah menghubungi anggota keluarga untuk menyediakan wang berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Khalid berkata cadangan untuk mewajibkan anggotanya lulus ujian Indeks Jisim Badan (BMI) dan beberapa ujian kesihatan lain sebagai syarat kenaikan pangkat dan pengesahan jawatan adalah wajar bagi memberi kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan.
“Jumlah kematian dalam kalangan anggota polis juga tinggi disebabkan penyakit kencing manis dan darah tinggi. Justeru itu, wajar bagi pihak polis mencari langkah-langkah menangani masalah berkenaan demi kebaikan warga PDRM,” katanya.
Baru-baru ini, Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Zulkifli Abdullah mengumumkan bahawa PDRM bakal mewajibkan warganya lulus ujian BMI dan beberapa ujian kesihatan lain sebagai satu syarat kenaikan pangkat dan pengesahan
Cadangan itu, yang telah dipersetujui kepimpinan PDRM, akan dilaksanakan selewat-lewatnya hujung tahun ini. – BERNAMA