Pakar dari Malaysia dan Perancis akan memulakan analisis terhadap bahagian flaperon atau pecahan sayap yang ditemui itu pada Rabu, termasuklah serpihan beg pakaian yang turut ditemui di kawasan berhampiran, menurut akhbar The Guardian, hari ini.
Jika disahkan ia adalah milik pesawat Malaysia Airlines (MAS), penemuan itu bakal menandakan kejayaan pertama dalam kes yang membingungkan pakar-pakar penerbangan dunia selama 16 bulan.
Proses Penentuan Flaperon Daripada MH370 Bermula Rabu
Perancis mengetuai siasatan sekarang selepas serpihan dari bahagian pesawat MH370 dijumpai terdampar di Pulau La Reunion milik Perancis di Lautan Hindi.
Pada Sabtu, beberapa ratus orang menghadiri himpunan di Saint Andre sebagai memperingati mangsa, beberapa ratus meter dari tempat di mana flaperon itu ditemui pada Rabu.
Serpihan bahagian sayap berukuran dua meter dan diletakkan dalam peti kayu itu diiringi polis dari Paris, ke makmal Kementerian Pertahanan berhampiran bandar di barat daya Toulouse.
Agensi berita AFP melaporkan serpihan pesawat yang ditemui adalah milik pesawat Boeing 777. Ia berdasarkan nombor yang terdapat pada serpihan berkenaan.
Satu-satunya kapal terbang Boeing 777 di dunia yang lenyap daripada radar adalah MH370 dan dianggap model 777 pertama yang terhempas di hemisfera selatan.
MH370 hilang pada 8 Mac 2014, dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 239 orang termasuk anak kapal. – MYNEWSHUB.CC

