PUTRAJAYA – Pergerakan Puteri UMNO akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) serta pihak sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) bagi menangani penyebaran fahaman ekstremis seperti kumpulan IS kepada golongan muda.
Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata belia khususnya pelajar adalah golongan paling berisiko untuk terpengaruh dengan gerakan ekstremis akibat kurang pemahaman agama.
“Semasa pertemuan dengan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga Menteri Pertahanan baru-baru ini, beliau ada minta Puteri UMNO memainkan peranan sebagai pemimpin muda untuk turut bersama agensi berkaitan agama dalam memantau penyebaran fahaman ekstremis.
“Golongan muda terutamanya di bawah 35 tahun lebih mudah terdedah kepada perkara seperti ini kerana kurang pemahaman dan mereka merasakan apa yang disampaikan adalah betul,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas tentang penglibatan golongan belia dalam aktiviti IS, selepas melancarkan Karnival Sukan Pergerakan Puteri Umno, di sini, hari ini.
Sementara itu, Mas Ermieyati berkata agensi berkaitan agama juga perlu mengambil tindakan pantas dan serius selain bekerjasama rapat dengan masyarakat untuk menangani ancaman ekstremis.
“Mungkin agensi sudah memainkan peranan tetapi perlu bekerjasama rapat dengan masyarakat dan bukan hanya one-off sahaja kerana tanggungjawab mereka bukan bermusim.
“Cabaran IS itu banyak dikaitkan dengan agama dan kalau tidak ditangani akan menjadi satu ancaman utama yang boleh merebak secara senyap dan menghancurkan negara,” katanya. – BERNAMA