PETALING JAYA – Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini bersama-sama meninjau keadaan mangsa banjir dan jalan runtuh akibat bencana alam itu di Dungun, Terengganu.
Dalam program sehari itu, Hishammuddin dan Fadillah serta rombongan meninjau keadaan mangsa banjir di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Balai Besar sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Balai Besar.
Kedua-dua menteri itu turut beramah mesra dengan mangsa banjir di pusat pemindahan banjir berkenaan selepas solat Jumaat.
Mereka kemudian menaiki helikopter bersama-sama anggota media dan meninjau dari udara di kawasan jalan runtuh di sekitar Jalan Jongok Batu sebelum berlepas pulang ke Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang, di sini.
Bercakap kepada pemberita selepas tinjauan itu, Fadillah berkata buat sementara waktu, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah membuat laluan sementara di Jalan Jongok Batu itu bagi memudahkan pergerakan orang ramai.
Laluan sementara itu, katanya dijangka siap dan boleh digunakan oleh semua kenderaaan pada Isnin (5 Jan) ini.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata JKR dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan bekerjsama bagi membaik pulih jalan yang runtuh itu.
Kerja membaik pulih jalan runtuh itu dijangka siap sepenuhnya kira-kira enam bulan lagi, katanya. – BERNAMA