Polanda – Seorang kanak-kanak berusia enam tahun terjun daripada tingkap bilik kelasnya selepas guru kelasnya terlupa dia masih berada di dalam bilik itu lalu mengunci pintu bilik tersebut.
Kejadian itu menyebabkan Natalia Przystupa patah kaki selepas terjun dari tingkat satu.
Dia ditemui tidak sedarkan diri lalu dibawa ke hospital.
Menurut bapanya, Mariusz, 33, dia terkejut selepas dihubungi guru besar sekolah terbabit bahawa anaknya dimasukkan ke hospital.
“Saya diberitahu bahawa guru kelas Natalia keluar sekejab untuk menghisap rokok dan selepas kembali, dia terus mengunci pintu bilik kelas itu.
“Ketika itu Natalia sedang mengemas beg sekolahnya,’’ katanya.
Mariusz berkata, Natalia kemudiannya menjerit dan mengetuk pintu berkali-kali namun tiada siapa yang mendengarnya.
Dia kemudian melompat dari tingkap kelas berkenaan.
“Saya tidak percaya ada guru yang meninggalkan budak dalam kelas, kemudiannya keluar menghisap rokok dan terus mengunci pintu.
“Guru apakah ini yang mengunci pintu ketika anak murid masih berada di dalamnya,’’ katanya.
Mariusz turut memberitahu ketika ini perkara yang penting adalah menunggu sehingga anaknya sembuh.
Dia juga mahukan pemohonan maaf daripada guru terbabit.
Setakat ini tidak diketahui apa tindakan yang akan dikenakan ke atas guru tersebut.