KUALA LUMPUR – Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) memaklumkan pusat pemeriksaannya di Seksyen 28, Shah Alam, Selangor dikhususkan untuk pemeriksaan kenderaan perdagangan berat 6,000 kilogram ke atas sahaja bermula 3 November lalu.
Puspakom dalam satu kenyataan media turut memaklumkan Puspakom di Padang Jawa di Shah Alam pula dikhususkan untuk pemeriksaan bagi kenderaan persendirian, kenderaan perdagangan ringan 5,999kg ke bawah dan jentera bergerak bagi pemeriksaan khas sahaja.
“Perubahan serta penambahbaikan ini bertujuan untuk memberi keselesaan kepada pelanggan di samping melancarkan aliran trafik serta mempercepatkan operasi di cawangan-cawangan tersebut.
“Sehubungan ini, jumlah lorong pemeriksaan peringkat pertama yang merangkumi pemeriksaan identiti, pemeriksaan bahagian atas dan bawah dan ujian perlepasan asap bagi kenderaan berat di Puspakom Shah Alam akan ditambah dari tiga lorong kepada lapan lorong,†kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, lorong pemeriksaan peringkat kedua yang merangkumi ujian brek, ujian gelincir sisi bagi kenderaan berat di Puspakom Shah Alam turut ditambah daripada dua lorong kepada empat lorong.
Manakala, kata kenyataan itu, jumlah lorong pemeriksaan kenderaan ringan di Puspakom Padang Jawa akan ditambah dari empat lorong kepada enam lorong serta dilengkapi dengan kaunter bayaran pandu-lalu bagi memudahkan dan mempercepatkan proses pemeriksaan.
Orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat lanjut diminta menghubungi talian bebas tol Puspakom 1-800-88-6927 atau melayari laman web www.puspakom.com.my. – mynewshub.my