KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mampu menarik lebih ramai kehadiran pelancong ke Malaysia kerana pelaksanaannya membolehkan pelancong menuntut bayaran balik melalui Skim Bayar Balik Pelancong (TRS).
Dekan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Prof Madya Dr Mohamad Abdullah Hemdi, berpendapat TRS adalah mekanisme penambahbaikan bagi industri pelancongan negara selain berupaya mempengaruhi peningkatan perbelanjaan pelancong asing di negara ini.
Katanya seperti Cukai Nilai Tambah (VAT) yang diguna pakai di merata dunia, pelancong asing boleh mendapatkan bayaran balik daripada kerajaan melalui TRS apabila GST dilaksanakan.
“TRS hanya terpakai kepada barangan yang dibawa keluar oleh pelancong dari negara ini (Malaysia) namun bukan bagi perkhidmatan atau barangan yang dibeli atau digunakan di Malaysia seperti caj hotel, bil makanan dan lain-lain.
“Pelancong perlu memastikan invois cukai disertakan dengan resit pembelian untuk menyokong tuntutan pembayaran balik TRS. Skim ini hanya layak bagi pelancong yang menggunakan pengangkutan udara dan mereka mesti berbelanja sekurang-kurangnya RM300 termasuk cukai di kedai yang diluluskan,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Bahagian GST, Tan Sim Kiat, pula berkata Jabatan Kastam Diraja Malaysia kini sedang dalam proses memilih ejen TRS, yang bertanggungjawab mengenal pasti kedai bayaran balik cukai bagi barangan dibeli pelancong.
Katanya, ejen berkenaan akan mengenal pasti kedai untuk membentuk perkongsian bersama bagi TRS menjelang pelaksanaan GST pada 1 April 2015.
“Selepas kedai-kedai itu dikenal pasti, pelancong boleh pergi ke kedai berkenaan untuk membeli barangan bebas cukai. Apabila mereka membawa barangan bebas cukai itu keluar negara, mereka boleh menuntut bayaran balik, yang akan dibayar oleh ejen TRS,” katanya ditemui baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Abdullah berkata harga barangan yang berkadar sifar (selepas TRS) akan menjadikan barangan di Malaysia lebih berdaya saing di peringkat global.
Promosi rebat cukai kepada pelancong dan proses tuntutan yang cekap akan membantu Malaysia menarik lebih ramai pelancong untuk menjadikan negara ini sebagai destinasi beli-belah.
“GST dalam masa sama akan dapat mengurangkan kos bagi menjalankan perniagaan bercorak pelancongan di Malaysia selain perkhidmatan pelancongan akan menjadi lebih berdaya saing di pasaran antarabangsa.
“Walaupun kadar GST Malaysia berpatutan, kita perlu ingat bahawa negara jiran juga mungkin cuba memperkukuhkan daya saing mereka dengan menurunkan kadar cukai dalam usaha menarik pelancong ke negara mereka,” katanya.
Pensyarah Pengurusan Perniagaan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohamad Hanapi Mohamad, berkata di Eropah, pelancong dibenarkan mendapat bayaran balik VAT ke atas pembelian barangan dan perkhidmatan tempatan.
Justeru, beliau berpendapat TRS mampu dilaksanakan dengan cekap jika semua pembelian dilakukan dengan resit dan invois yang mencatatkan kadar VAT atau GST.
“Semua peniaga dan pengusaha pelancongan dinasihatkan menjalankan perniagaan dengan mendaftar dan mendapatkan lesen GST bagi tujuan pelaksanaan sistem TRS ini,” katanya.
Mengenai kadar GST Malaysia, Mohamad Abdullah berkata kadar enam peratus adalah yang terendah di antara negara-negara ASEAN dan ia berupaya memacu negara ke tahap lebih berdaya saing.
Ketika ini pelancong perlu membayar kadar enam peratus untuk cukai perkhidmatan dan lima hingga 10 peratus untuk cukai jualan bagi kos penginapan di hotel, namun apabila GST dilaksanakan ia akan diselaraskan menjadi enam peratus sahaja.
“Apabila GST menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kadar cukai diselaraskan menjadi satu dan jauh lebih rendah berbanding sebelum ini. Kos perniagaan hotel akan berkurang selepas GST kerana hotel atau restoran tidak lagi perlu membayar cukai jualan bagi pembelian meja, kerusi dan kemudahan lain.
“Sesetengah hotel dan restoran ketika ini mengenakan caj perkhidmatan dengan kadar 10 peratus yang mana kutipan ini tidak ada kena mengena dengan kerajaan,” katanya.
Namun, Mohamad Abdullah mengingatkan kadar enam peratus mungkin memberi kesan ke atas keuntungan pengusaha pelancongan, iaitu apabila kos tambahan dipindahkan kepada pelancong dan mengakibatkan harga perkhidmatan pelancongan meningkat.
“Namun, terdapat juga kemungkinan kos GST ini diserap oleh pengusaha pelancongan untuk kekal berdaya saing dengan pesaing mereka,” katanya yang berpendapat bahawa industri pelancongan sangat sensitif kepada harga pasaran dan tertakluk kepada persaingan antarabangsa yang sengit. – BERNAMA