SAN FRANCISCO – Apple Inc dijangka melancarkan beberapa gajet terbaharu esok, langkah yang dilihat sebagai usaha untuk menzahirkan kepada dunia syarikat itu masih mempunyai kuasa untuk memukau pasaran.
Apple yang sudah tersohor sebagai pelopor trend, dijangka mengejutkan pasaran bagi komputer yang boleh dipakai menerusi peranti jam pintar atau gelang yang boleh memantau kesihatan, membantu menguruskan rumah, malah untuk membeli barangan.
Syarikat itu yang berpangkalan di Cuppertino memang agak lewat menampilkan produk berkenaan kerana beberapa syarikat elektronik lain sudah memperkenalkan jam pintar walaupun tidak begitu menggegarkan pasaran.
Jika ada mana-mana yang boleh mengubah landskap pasaran, ia sudah tentunya Apple Inc. Syarikat itu sudah membuktikan keupayaan mengubah hala tuju teknologi digital menerusi iPod, iPhone dan iPad. Memang sudah ada pemain muzik digital sebelum itu, tetapi peranti berkenaan tidak menarik perhatian pengguna sehinggalah Apple menampilkannya dalam bentuk yang anggun, mudah diguna dan canggih.
Apple dijangka mempersembahkan kepada umum buat kali pertama peranti komputer boleh dipakai dan iPhone 6 dengan skrin lebih besar pada jam 10 pagi di Lembah Silikon (kira-kira 1 pagi Rabu, Malaysia).
Pelancaran besar-besaran itu yang akan dibuat di Auditorium Lembah Silikon, tempat sama Apple memperkenalkan komputer Mac 25 tahun lalu, dikatakan akan diserikan dengan persembahan U2, kumpulan muzik kegemaran bekas pengasas syarikat, mendiang Steve Jobs.
“Pemilihan lokasi pelancaran menunjukkan ia bakal menjadi peristiwa bersejarah dan perkara bersejarahnya adalah penyertaan Apple dalam kategori baharu,” unjur penganalisis teknologi dan pemerhati Apple, Tim Bajarin.
Peranti komputer boleh dipakai itu dijangka hanya memasuki pasaran awal tahun depan. Akan tetapi, pelancaran produk berkenaan memudarkan kebimbangan sebelum ini bahawa Apple tiada lagi inovasi baharu tanpa Jobs.
Walaupun keterujaan pasaran dikatakan berlegar sekitar jam pintar baharu, generasi terbaharu iPhone akan tetap menjadi bintang utama pada pelancaran esok, tambahan pula peranti pintar itu akan menjadi sumber penjana keuntungan utama Apple tahun depan.
Peranti itu yang berkemungkinan dipanggil iPhone 6, dijangka menampilkan skrin 4.7 inci (12 sm) berbanding 4 inci (10 sm) sekarang. Kalangan penganalisis juga menjangkakan Apple akan melancarkan varian dengan skrin 5.5 inci (14 sm).
Penampilan iPhone dengan skrin lebih besar sudah tentu akan menjadikannya lebih berdaya saing dengan model keluaran Samsung Electronics dan beberapa pengeluar lain.
“Memang ada permintaan tinggi untuk skrin iPhone yang lebih besar,” kata Bajarin sambil menambah iPhone baharu dijangka menjadi peranti terlaris pada musim perayaan hujung tahun ini.
Selain skrin lebih besar, iPhone baharu dijangka turut memasukkan cip komunikasi medan-dekat yang membolehkan peranti itu memancarkan maklumat pembayaran secara tanpa wayar di kaunter bayaran gedung beli belah dan premis perniagaan.
Teknologi itu dijangka turut didatangkan dengan ciri dompet mudah alih yang mempunyai akses kepada lebih 800 juta akaun kad kredit yang disimpan pengguna di pelayan Apple untuk membeli lagu, video dan aplikasi di iTunes. Dompet mudah alih, dikunci dan dibuka menerusi pembaca cap jari yang diperkenalkan pada iPhone 5S tahun lalu. – AP